Counter Hits!!

Wednesday, March 24, 2010

Mengintai Pintu Parlimen Malaysia

Assalammualaikum dan salam 1 malaysia..pertama sekali penulis ingin merafakkan kesyukuran kehadrat illahi kerna masih dapat teguh berdiri, gagah menulis dalam merungkai seribu kenangan di dalam ruangan ini..penulis ingin menceritakan kenangan yang baru sahaja dilalui baru-baru ini iaitu "Lawatan ke Parlimen Malaysia"..sebut sahaja parlimen, ramai yang tertanya Apakah Itu Parlimen?
Parlimen Malaysia merupakan badan perundangan kebangsaan Malaysia, berdasarkan sistem Parlimen Westminster. Parlimen Malaysia terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara (atau Senat). Ahli Dewan Rakyat dikenali sebagai ahli parlimen, manakala ahli Dewan Negara diberi gelaran Senator.
Lebih kurang jam 11.30 pg, penulis bertolak daripada kampus UTMKL dengan menaiki van yang disediakan universiti. Penulis kelihatan kemas berpakaian formal dengan blazer hitam yang dipinjam daripada pihak HEP. Rakan-rakan yang majoritinya presiden persatuan turut bersama di dalam lawatan tersebut. Juga mantan mpp yang tidak melepaskan peluang untuk bersama dengan kami.

Hampir jam 12.30, kami selamat sampai ke Parlimen Malaysia. Setibanya di sana, kami diarahkan untuk mengeluarkan barangan seperti handset dan juga kamera. Kami tidak boleh sewenangnya mengambil gambar di dalam parlimen. Terlepaslah harapan penulis untuk bergambar di dalam parlimen. Sebelum memasuki pintu masuk, kami telah diperiksa oleh seorang pengawal bagi memastikan tiada barang yang dicurigai dibawa masuk ke dalam. Selesai sudah sesi pemeriksaan, kami dimulakan dengan sesi makan bersama Menteri Kerja Raya iaitu Dato' Shaziman Abu Mansor yang juga selaku Mentor UTM.

Turut hadir TNC UTM, Y.Bhg Prof Tajudin Ninggal bagi memeriahkan majlis. Sebelum sesi makan dimulakan, Y. Amat Berhormat Dato' bersalaman dengan mahasiswa UTM yang hadir pada majlis tersebut. Penulis juga berkesempatan bersalaman dengan beliau. Sejenak di hati, tika penulis menjejakkan kaki ke UTM, penulis sering bertemu dengan menteri-menteri yang juga pimpinan negara. Rasa bertuah dapat bertemu bersua muka dengan mereka. Semasa sesi makan, kami telah dihidangkan dengan makanan hotel termasuk lauk ayam, ikan, daging, udang dan juga lengkap dengan desert serta buah-buahan. Penulis berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan dan pabila selesai sudah sesi makan, bermulalah sesi ramah mesra bersama Y. Amat Berhormat Dato' di dalam bilik khas. Majlis tersebut telah memberi ruang kepada mahasiswa untuk bertanyakan pendapat mahupun memberikan cadangan kepada Dato' dalam memperkasakan UTM di mata dunia. Tepat jam 2.30 ptg, majlis telah tamat dan kami telah diberikan goodies bag yang ditaja sepenuhnya oleh pihak PLUS.


Penulis mula mengorak langkah untuk melihat sekeliling di dalam parlimen tersebut. Secara tiba-tiba, dihadapan penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Nazri Aziz. Penulis tidak sempat bersalaman dengan beliau yang mula bergerak laju menuju sesuatu tempat. Penulis mula bergerak melihat sekeliling, kali ini terserempak pula dengan Y.B Dato' Ahmad Shabery Cheek yang merupakan Menteri Belia & Sukan yang tika itu sedang duduk bersama dengan rakan-rakannya. Slot seterusnya merupakan detik yang manis tatkala melihat ahli parlimen bersidang di dewan rakyat. Sebelum menjejakkan kaki ke dewan rakyat, kami disimpan dahulu di dalam dewan negara sebelum mengisi kekosongan tempat duduk di dewan rakyat. Setibanya dalam dewan rakyat, kelihatan ahli-ahli parlimen bersidang secara langsung dalam dewan tersebut.


Penulis mula mengenal ahli-ahli parlimen tersebut, penulis hanya kenal sebilangan sahaja daripada mereka antaranya Datuk Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun dan juga Y.B. Razali Ibrahim, Ahli Parlimen Muar. Tidak sampai sejam berada di dewan tersebut, kami diminta keluar untuk memberi peluang orang lain untuk melihatnya. Keluar sahaja daripada pintu masuk Parlimen Malaysia, kami diberi semula barang yang telah disimpan dan kami juga berkesempatan bergambar di luar parlimen tersebut. Hampir jam 6 ptg, kami bertolak ke kampus dengan bas UTM yang disediakan. Inilah kali pertama menjejakkan kaki di Parlimen Malaysia dan juga menjadi suatu memori sampai bila-bila ^^

Bersama kereta idamanku ^_^

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...