Counter Hits!!

Sunday, March 28, 2010

PABM 2010

Assalammualaikum dan salam 1 malaysia, Penulis ingin berkongsi pengalaman ketika kunjungan ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri yang diadakan di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 5 MAC yang lepas.


Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri merupakan suatu kejayaan bagi memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ke arena antarabangsa. PABM 2010 ialah program keempat yang sebelum ini dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri yang dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini. Setakat ini terdapat 130 IPT di 45 negara seluruh dunia menawarkan program pengajian bahasa Melayu.


PABM 2010 ini juga bersiaran secara langsung di rtm1. Justeru, ramai rakyat Malaysia yang tidak melepaskan peluang untuk menyaksikannya di televisyen. Pertandingan ini telah menampilkan LAPAN peserta akhir, membabitkan tiga peserta kategori nusantara dan lima peserta kategori antarabangsa.

LAPAN peserta yang bertanding pada peringkat akhir PABM bagi merebut Piala Perdana Menteri

Sekali lagi ucapan penghargaan buat UTMKL kerana menjemput penulis untuk bersama-sama menyaksikan secara langsung pertandingan ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Jam 6 petang, penulis bersama rakan-rakan yang lain bertolak menaiki bas UTM ke Putrajaya.

Keadaan sekeliling Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

Penulis bersama Azmi, Presiden JURUTEK

Setibanya di sana, kami dibenarkan untuk mengambil makanan di dalam sebelum menanti pertandingan bermula. Makanan yang diberi merupakan nasi putih dan lauk kari ayam beserta sayur. Selesai sahaja menjamah selera, kami menunaikan tanggungjawab sebagai umat islam di surau.

Penulis dan rakan-rakan menjamu selera

Hampir jam 8 malam, kami dibenarkan masuk ke dewan plenary untuk mengisi kekosongan kerusi yang ada. Alhamdulillah pada masa tersebut banyak kekosongan tempat duduk yang ada dan penulis mengambil kesempatan ini untuk duduk di hadapan sekali bersama rakan yang lain. Penonton bukan hanya diperingkat dewasa dan berumur sahaja, malah pelajar-pelajar sekolah rendah & menengah turut terlibat untuk menyaksikan pertandingan berprestij ini. Inilah semangat anak muda yang seharusnya dididik untuk memperkasakan budaya Melayu di persada antarabangsa.

Penonton yang hadir berbagai bangsa dan kaum

Buku cenderahati PABM 2010

Keadaan di dewan mula dipenuhi dengan ribuan rakyat malaysia yang mengisi tempat kosong yang ada. Hampir jam 8.45 malam, ketibaan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak bersama isterinya dan menteri-menteri yang lain telah disambut baik rakyat Malaysia walaupun lewat seperti yang dirancang. Keadaan dewan mula gamat dengan penonton yang bersemangat dan tidak sabar lagi untuk menanti pertandingan ini dimulakan.

Johan pertandingan akan menerima wang tunai USD5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan, naib johan USD3000 (RM10,500) serta hadiah iringan, manakala tempat ketiga akan membawa pulang USD2,000 (RM7,000) dan sijil penyertaan. Sebagai menghargai sumbangan peserta, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

Sebelum majlis dimulakan, lagu negaraku dinyanyikan dan juga persembahan pembukaan bertemakan “1 Malaysia”. Trofi PABM diletakkan di tengah-tengah pentas sebagai taruhan pertandingan. Majlis bermula dengan lafaz bacaan doa, seterusnya ucapan daripada Menteri Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri Malaysia.

Persembahan tarian "1 Malaysia"

Trofi yang dijadikan taruhan pertandingan

Keadaan dewan mula meriah dengan sokongan rakyat malaysia kepada para peserta sebelum menanti detik pertandingan dimulakan. Pertandingan bermula dan semua peserta menunjukkan kelebihan masing-masing untuk mengupas topik yang diberikan. Penulis merasa geli hati apabila ada diantara peserta tersebut menceritakan kenangannya berada di Malaysia dan tidak selaras dengan topik yang diberikan, walaupun tidak berapa fasih berbahasa melayu, tetapi keberaniannya tidak mematahkan semangat beliau untuk berpidato di negara Malaysia.

Detik persoalan mengenai “siapakah juara” menjadi tanda tanya semua yang menonton secara langsung mahupun di televisyen. Sebelum pemenangnya diumumkan, tarian dipersembahkan sebelum menanti detik yang mendebarkan. Penulis mula mengagak siapakah pemenang PIBM 2010 ini.

Tarian tradisional dipersembahkan sebelum menanti keputusan

Dato’ Sri Mohd Najib menuju ke pentas untuk sesi penyampaian hadiah

Ternyata jawapan penulis tidak meleset dan peserta dari Malaysia, Mohd Syazwan Shuhaimi telah diumumkan sebagai juara kategori nusantara, diikuti peserta dari kemboja, Chai Lany Sles pemenang tempat kedua dan peserta dari Indonesia, Leonora Lydia Gebby Wentuk pemenang tempat ketiga. Bagi kategori antarabangsa pula, pemenang pertama ialah peserta dari China Zhang Song, tempat kedua peserta dari Rusia, Natalya Budanova dan tempat ketiga peserta dari Jerman, Josee Hunnekes.

Mohd Syazwan Shuhaimi (MALAYSIA)

Chai Lany Sles (KEMBOJA)

Leonora Lydia Gebby Wentuk (INDONESIA)

Zhang Song (CHINA)

Natalya Budanova (RUSIA)

Josee Hunnekes (JERMAN)

Pertandingan berakhir dengan penuh gilang-gemilang dengan sorakan daripada rakyat malaysia. Semua peserta pertandingan berpuas hati dengan apa yang telah disampaikan dan memperoleh kenangan yang manis sepanjang berada dalam pidato ini. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam batik bewarna merah turut memberikan sokongan kepada para peserta.

Wajah keriangan pemenang kategori Nusantara PABM 2010

Pemenang-pemenang mengambil gambar kenangan bersama

Rakan-rakan pemenang berpakaian seragam merah yang turut memberi sokongan

Pemenang-pemenang dengan wang tunai yang dimenangi serta hadiah sampingan

Turut kelihatan kelibat Senator Tan Sri Datuk Jins Shamsuddin, penulis tidak sempat bergambar bersama beliau yang pada ketika itu berada jauh dengan penulis. Penulis hanya sempat bergambar dengan artis cerita Balqis, Eira Syazira yang merupakan kakak kepada pemenang dari Malaysia sebelum pulang ke kolej yang tercinta.

Penulis bersama Eira Syazira

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...