Counter Hits!!

Monday, March 29, 2010

Siapa Aku...

Subuhnya
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu
sambil berpoya – poya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah bagai tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru terlupa
aku semakin di hujung waktu
siapa aku di depan tuhanku ???

Zohornya
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira mengira keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku menggadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhanku ???

Asarnya
aku lupa warna masa
cepat berubah bagai ditolak – tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak di hujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia
dan si jebat yang derhaka
siapa aku di depan Tuhanku ???

Maghribnya
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berlegar di sebalik tabirnya
mencari sisa – sisa keseronokan
tidak terasa ruang yang singkat
jalan yang bertongkat – tongkat
ruginya bertingkat – tingkat
siapa aku di depan Tuhanku ???

Isyaknya
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan mengganguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu – cumbu dengan waktu
siapa aku di depan Tuhanku ???

Kini
aku menjadi tertanya – tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan sejadahku menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan disembahyangkan dan dibawa pergi ???

Disini
Jika diruangku dibiarkan kosong dan sunyi
Jika wajahku menjadi asing pada bintang dan mentari
Bagaimana aku ... di depan Tuhanku nanti....




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...